Friday 13 January 2012

Anda Mahu Tahu Sebab al-Quran diturunkan

Anda Mahu Tahu Sebab al-Quran diturunkan
Tarikh: Friday, July 11 @ 19:02:24 MYT
Tajuk: Info Unit Pendidikan Agama Islam




Oleh: Kamarudin bin Jaffar

Sebab-sebab al-Quran diturunkan

Pengenalan

Setiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah mempunyai sebab dan qadarnya . Kanak-kanak yang baru dilahirkan tidak dapat melihat cahaya dunia melainkan setelah melalui kejadian sebab musabab dan proses pertumbuhannya . Justeru itu , ayat-ayat al-Quran yang diturunkan juga ada latar belakangnya . Namun begitu , ulama menjelaskan bahawa ayat-ayat al-Quran yang diturunkan boleh dikategorikan kepada dua iaitu , ada yang mempunyai sebab dan ada yang tidak mempunyai sebab .

1.0 Penurunan al-Quran tanpa sebab

Ayat-ayat yang diturunkan tanpa sebab sering memperkatakan soal penghidupan harian atau perkara yang sering berlaku. Selain itu , ia juga menyentuh tentang perkara yang telah diketahui maklumatnya seperti berakhlak mulia.Ia juga untuk memberi maklumat tambahan, penjelasan yang kurang dan membetulkan kekeliruan.Wahyu ini banyak berlaku dan jumlahnya melebihi jumlah ayat yang diturunkan bersebab.
Menurut Ahmad Von Denffer ,

In some cases scholars have provided us with the background of certain events that heve been narrated in the Quran. Obviously , however , such information does not belong to the field of asbab al-Nuzul. Although it may help to understand the message of the recelation, it is not related in a direct and reliable wa, showing immediate reason for or the occasion of the revelation.

Beliau menegaskan bahawa tidak semua ayat al-Quran yang diturunkan itu mempunyai sebab.


1.1 Contoh pertama.
Penurunannya semata-mata untuk menunjukkan jalan yang benar, tanpa menjelaskan peristiwa atau pertanyaan .
Firman Allah surah al-Rum ayat 30:

Maksudnya: (Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (kamu dan pengikut-pengikutmu wahai Muhamad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan;(turutlah terus “Agama Allah” iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; iaitulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
(Surah al-Rum ayat 30)

1.2 Contoh kedua.
Penurunannya untuk mencerikatakan tentang umat terdahulu, menenangkan serta menghiburkan nabi dan sahabat.
Contohnya firman Allah surah Yusuf ayat 3-5.

Terjemahan:
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhamad) seindah-indah kisah dengan jalan
wahikan kepadamu al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahi itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya . (Ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya : “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku. Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”
(Surah Yusuf ayat 3-5.)



1.3 Contoh ketiga iaitu ayat yang menceritakan cerita-cerita ghaib yang akan berlaku pada masa hadapan .

Ayat-ayat yang dimaksudkan ini termasuk gambaran peristiwa hari qiamat , pemandangan pada hari tersebut dan gambaran-gambaran nikmat dan azab pada hari akhirat . Ayat-ayat yang memberikan fokus khas tentang gambaran ini boleh didapati dengan jumlah yang banyak khususnya semasa al-Quran dibentangkan pada zaman Makkiyyah . Sebagai contoh iaitu Surah al-Rahman ayat 46 , terjemahannya :

“Dan orang yang takut akan keadaan berdirinya di mahkamah Tuhan (untuk dihisab), disediakan baginya dua syurga.”

2.0 Penurunan al-Quran Bersebab
2.1 Sebab nuzul untuk menjelaskan sesuatu hukum dan membetulkan kesilapan .
Firman Allah :

Terjemahan:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya) sedangkan kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.

Dan janganlah pula (menghampiri) masjid sedang kamu dalam keadaan junub kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi bersuci.

Dan jika kamu sakit atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwudhu’) maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah-debu yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah adalah amat pemaaf, lagi amat pengampun.

(Surah al-Nisa’ ayat 43)



Penerangan

Ayat tersebut diturunkan dengan sebab ada di kalangan sahabat yang mengerjakan solat dalam keadaan mabuk, menyebabkan beliau silap ketika membaca surah al-



Kafirun. Ayat dan wahyu tersebut diturunkan untuk menjelaskan supaya jangan bersembahyang dalam keadaan mabuk.

2.2 Penurunan wahyu dan al-Quran untuk menjawab pertanyaan yang diajukan
kepada baginda.

Sebagaimana firman Allah:


Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), tentang Zul
Qarnain. Katakanlah . “ Aku akan bacakan kepada kamu (wahi dari Allah yang
menerangkan) sedikit tentang perihalnya.”
(Surah al-Kahfi ayat 83)

Ayat tersebut diturunkan kerana ada orang Yahudi yang bertanya kepada nabi kisah Zul Qarnain.

2.3 Penurunan wahyu apabila nabi ditanya tentang sesuatu perkara, maka turunlah ayat yang menerangkan hukumnya.

Contohnya ialah kisah Khaulah binti Tha’labah yang telah diziharkan oleh suaminya Aus ibn Sabit. Khalulah kemudian mengadu kepada Rasulullah. Sebagaimana hadis daripada Aisyah yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ibn Abi Hatim. Aisyah berkata yang bermaksud: Maha suci Allah yang mana pendengaranNya meliputi segalanya. Aku mendengar aduan Khaulah binti Tha’labah itu, meskipun tidak semuanya. Ia mengadu tentang suaminya kepada Rasulullah , dengan katanya: “Wahai Rasulullah! Suamiku telah lama hidup bersamaku dan aku juga telah beberapa kali mengandung kerananya, tetapi sekarang setelah aku tua, dan tidak beranak lagi, dia telah menziharkan aku. Ya Allah sesungguhnya aku mengadu kepadaMu”. Aisyah berkata: “Tiba-tiba malaikat Jibril turun membawa ayat;

Terjemahannya:
Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenankan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (Wahai Muhammad) tentang suaminya, sambil ia berdoa dan merayu kepada Allah (tentang perkara yang menyusahkannya) sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah amat mendengar lagi amat melihat.
(Surah al-Mujadalah ayat 1).

2.4 Penurunan wahyu dan al-Quran apabila berlaku sesuatu peristiwa.

Hal ini sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang mana Ibnu Abbas berkata yang bermaksud: Ketika turunnya ayat 214 surah al-Syu’ara’ yang bermaksud: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. Nabi telah menaiki bukit Safa , lalu baginda berseru: “Wahai kaumku sekalian! Maka mereka semua berkumpul berhampiran dengan nabi. Baginda berseru lagi: “Bagaimana pendapatmu apabila aku memberitahumu bahawa di sebalik bukit ini terdapat sepasukan berkuda yang akan menyerang kamu. Percayakah kamu terhadap kata-kataku ini ?” Mereka menjawab: “Kami belum pernah mendapati kamu mendusta.” Lantaran itu nabi menyambung kata-katanya: “Aku memperingatkan kepada kamu tentang azab yang amat pedih”. Maka ketika itu, Abu Lahab bangun lantas berkata: “Celakalah engkau ! Apakah engkau mengumpulkan kami ini hanya untuk urusan ini?” Maka turunlah surah al-Masad. Sebagaimana firman Allah;

Maksudnya:
Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, ia tidak dapat menolongnya! Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang! Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api! Dilehernya sejenis tali dari tali-tali yang dipintal.
(Surah al-Masad ayat 1-5)

3. Pembahagian-pembahagian penurunan bersebab

Pembahagian penurunan bersebab.

Boleh dibahagikan kepada 3:-
a) Satu ayat satu sebab nuzul;
b) Satu ayat beberapa sebab nuzul;
c) Satu sebab nuzul untuk banyak ayat.




3.1 Satu Ayat Satu Sebab Nuzul

Berlaku pada sesetengah ayat yang telah diturunkan dengan pernyataan dan riwayat sebab nuzul yang jelas tanpa ada banyak riwayat yang menghubungkannya dengan asbab nuzul lain.

Contohnya ketika turunnya ayat 214 surah al -Syu’ara’, yang maksudnya :
Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. Nabi telah pergi menaiki Bukit Safa, lalu baginda berseru: “Wahai kaumku sekalian! Maka mereka semua berkumpul berhampiran dengan Nabi. Baginda berseru lagi: “Bagaimana pendapat kamu apabila aku memberitahu kepada kamu bahawa di sebalik bukit ini terdapat pasukan berkuda yang akan menyerang kamu, percayakah kamu terhadap kata-kataku ini? Mereka menjawab: “Kami belum pernah mendapati kamu berdusta”. Lantaran itu Abu Lahab menyambung kata-kata: “Celakalah engkau: Apakah engkau mengumpulkan kami ini hanya untuk urusan ini ?” Maka turunlah Surah al-Masad. Sebagaimana firman Allah:


Maksudnya:
Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya! Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang! Dan juga isterinya seorang perempuan pemunggah kayu api! Dilehernya sejenis tali dari tali-tali yang dipintal.
( Surah al-Masad ayat 1-5)

Ayat tersebut telah diturunkan untuk membalas celaan serta mencela Abu Lahab yang mencaci dan mencela nabi.


3.2 Satu ayat beberapa sebab nuzul
Jika ada dua riwayat mengenai satu ayat yang turun dan menyebutkan sebab yang jelas , maka kedua-duanya perlu dikaji lebih lanjut. Maksudnya terdapat beberapa riwayat tentang sebab nuzul sesuatu ayat.Huraiannya ada 6.

i) Apabila riwayat itu banyak dan semuanya menegaskan tentang asbabun nuzul, namun begitu satu daripadanya adalah riwayat yang sahih maka hendaklah diterima riwayat yang sahih itu.

Contohnya:
Riwayat pertama iaitu , hadis riwayat yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Jundub al-Bajali.Terjemahannya : Nabi mengalami sakit, menyebabkan dua atau tiga malam baginda tidak bangun sembahyang malam. Maka datanglah seorang wanita menemui baginda dan berkata : Wahai Muhammad! Aku rasa syaitanmu telah meninggalkanmu, sepanjang dua atau tiga malam ini ia tidak menghampirimu lagi. Maka Allah menurunkan ayat:


Maksudnya : Demi waktu Dhuha dan malam apabila ia sunyi sepi , Bahawa tuhanmu
( Wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik) .
(Surah Dhuha ayat 1-3)

Riwayat kedua pula , hadis riwayat daripada al-Tabarani dan Ibn Abi Syaibah daripada Hafs Ibn Maisarah daripada ibunya, daripada budak perempuan pembantu rumah nabi yang meriwayatkan :
إن جروا دخل بيت النبى صلى الله عليه وسلم فدخل تحت السرير، فمات فمكث النبى أربع إيام لا ينزل عليه الوحى فقال : يا خولة، ما حدث فى بيت رسول الله صلى الله عليه وسلم جبريل لا يأتينى ؟ فقلت فى نفسى : لو هيأت البيت وكنسته، فأهويت بالمكنسة تحت السرير فأخرجت الجرو فجاْ النبى صلى الله عليه وسلم ترعد لحيته، وكان إذا نزل عليه أحذته الرعدة، فأنزل الله الآية.

Terjemahannya :
Bahawa seekor anak anjing telah memasuki rumah nabi lalu masuk di bawah katil tempat tidur, lalu mati di situ. Sebab itu selama empat hari wahyu tidak turun kepada baginda. Maka baginda bersabda : Wahai Khaulah apa yang telah terjadi di rumah Rasulullah ini , sehingga Jibril tidak datang kepadaku ? Maka aku berkata dalam diriku: Alangkah baiknya seandainya aku mengemas rumah ini dan menyapunya. Lalu aku menyapu di bawah katil tempat tidur, maka aku keluarkan bangkai anak anjing. Selepas itu nabi datang dengan janggutnya terketar-ketar. Adalah nabi apabila turunnya wahyu, baginda terketar. Maka Allah menurunkan ayat:

Maksudnya :
Demi waktu Dhuha dan malam apabila ia sunyi sepi . Bahawa tuhanmu ( Wahai Muhammad) tidak meningalkanmu dan ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik) .
(Surah Dhuha ayat 1-3)

Menurut Ibn Hajar, dalam Sahih Bukhari, tentang lewatnya datang wahyu kerana ada bangkai anak anjing di rumah baginda adalah masyhur. Namun begitu, kisah itu untuk dijadikan sebab nuzul merupakan satu yang gharib dan tidak sesuai dengan martabat nabi.

Kita perlu mengambil riwayat pertama sebagai sebab nuzul. Riwayat pertama jelas kesahihannya sedangkan riwayat kedua pula tidak sahih disebabkan di dalam sanadnya terdapat perawi yang tidak diketahui namanya (rawi majhul). Menurut pendapat Dra . H. St Amanah , pada riwayat yang kedua ini tercium bau kepalsuannya . Selain itu , riwayat pertama diterima kerana ia diriwayatkan daripada imam Bukhari dan Muslim.

ii) Sekiranya kedua-dua riwayat adalah sahih, namun di antara keduanya masih boleh ditarjihkan di antara salah satu daripadanya disebabkan salah satunya lebih sahih di antara yang lain ataupun perawi pertama telah menyaksikan sendiri kejadian tersebut, oleh itu, dalam keadaan tersebut, riwayat ini seharusnya diterima sebagai sebab nuzul.

Riwayat pertama : Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn mas’ud berkata :
Terjemahan : Suatu ketika aku berjalan bersama nabi di Madinah. Baginda bertongkatkan daripada pelepah tamar. Ketika melintasi sekumpulan orang Yahudi, salah seorang daripada mereka berkata ; ”Cubalah kamu tanya sesuatu kepadanya (nabi). Lalu mereka bertanya, ”Ceritakan kepada kami tentang roh. Nabi berdiri dan diam sejenak dan mengangkat kepala. Aku tahu waktu itu wahyu sedang turun kepada baginda, hinggalah selesai penurunan wahyu. Selepas itu baginda bersabda: Sebagaimana firman Allah :

Yang bermaksud : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh. Katakanlah ”Roh itu dari perkara urusan tuhanku...”
( Surah al Isra’ ayat 85 )

Riwayat kedua hadis daripada Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh imam al-Tirmizi katanya : Orang-orang Quraisy berkata kepada orang Yahudi. ”Berilah kepada kami sesuatu persoalan untuk kami tanya kepada lelaki ini (nabi Muhammad). Mereka menjawab : Tanyalah kepadanya tentang roh. Maka mereka pun bertanya kepada nabi. Maka Allah menurunkan ayat :

Terjemahan : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh. Katakanlah ”Roh itu dari perkara urusan tuhanku...”
( Surah al Isra’ ayat 85 )

Daripada kedua-dua riwayat tersebut, riwayat pertama adalah lebih rajih berbanding riwayat kedua. Ini adalah kerana hadis pertama diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Selain itu, Ibn Mas’ud ada bersama nabi ketika peristiwa penurunan ayat tersebut berlaku dan beliau menyaksikan sendiri keadaan itu.
Justeru itu, riwayat pertama diterima sebagai sebab nuzul ayat tersebut.

iii) Sekiranya kedua-dua riwayat adalah sahih dan tidak pula dapat ditarjihkan, maka terimalah kedua-dua riwayat sebagai asbabun nuzul . Dalam konteks ini kita hendaklah beralasan bahawa ayat tersebut diturunkan selepas terjadinya kedua-dua peristiwa atau sebab berkenaan dan dalam tempoh waktu yang berhampiran.

Contohnya ;
Riwayat pertama : Riwayat Imam Bukhari yang diriwayatkan oleh Ikrimah daripada Ibn Abbas bahawa Hilal Ibn Umaiyyah telah menuduh isterinya berlaku sumbang dengan Syuraik Ibn Shama’ di hadapan Rasulullah SAW lalu baginda bersabda kepada Hilal: Bawakan bukti atau belakang kamu akan kusebat . Hilal berkata : Wahai Rasululullah, bagaimana keadaannya kalau seseorang itu mendapati isterinya berlaku sumbang dengan seorang lelaki, adakah ia perlu membawa keterangan atau saksi juga ? Maka turunlah ayat kepada baginda :

Terjemahan : Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri ,maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah , sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.
(Surah al-Nur ayat 6)




Riwayat kedua: Riwayat yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim , lafaz hadis ini diambil dari Sahih al-Bukhari daripada Sahl bin Sa’ad: Bahawa ‘Umaymir telah datang kepada ‘Asim Ibn ‘Adi iaitu ketua bagi suku Bani ‘Ajlan sambil berkata : Apa pendapat kamu seorang suami mendapati yang isterinya bersekedudukan dengan lelaki lain , apakah patut ia bunuh sahaja lelaki itu, tetapi selepas itu ia dibalas bunuh pula atau apakah yang sepatutnya dilakukan ? Tolonglah tuan hamba bertanyakan Rasululah tentang perkara ini? Selepas itu, ‘Asim pergi kepada Rasulullah dan bertanya : Wahai Rasulullah (‘Asim bertanya tentang perkara ‘Uwaymir tadi), namun baginda tidak suka melayani pertanyaan seumpama itu. Lalu baginda mengecam pertanyaan seumpama itu. Walau bagaimanapun, ‘Uwaymir masih tidak berpuashati , sambil beliau bersumpah: Demi Allah , aku tidak puas hati kecuali aku sendiri bertanya kepada baginda tentang hal tersebut. Maka ‘Uwaymir pun datang menemui baginda sambil berkata : Wahai Rasuullah, seseorang lelaki mendapati isterinya tidur bersama lelaki lain, adakah patut dia bunuh sahaja lelaki itu, tetapi selepas itu, ia akan dibunuh balas pula, atau apakah yang sepatutnya ia lakukan. Maka baginda menjawab:Sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat tentang kamu dan isteri kau kemudian nabi memerintahkan kepada suami isteri untuk bermula‘anah , sebagaimana Allah sebutkan di dalan kitabNya. Maka ia melakukan li’an dengan isterinya iaitu firman Allah :

Terjemahan : Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri ,maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah , sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.
(Surah al-Nur ayat 6)

Kedua-dua riwayat tersebut sama-sama sahih oleh itu, kita hendaklah mengambil kedua-dua riwayat itu sebab nuzul ayat berkenaan. Kedua-dua peristiwa itu berlaku dalam masa yang berdekatan di mana dalam riwayat tersebut kita boleh menyatakan bahawa orang pertama yang bertanya ialah Hilal ibn Umaiyyah , kemudian pertanyaan tersebut pula diikuti oleh ‘Uwaymir sebelum jawapan diberikan.



iv) Sekiranya kedua-dua riwayat yang dinyatakan sama-sama sahih, dan tidak
dapat ditarjihkan antara satu sama lain, serta ia juga tidak dapat dikumpulkan serentak disebabkan oleh jarak dan tempoh waktu berlaku peristiwa di antara keduanya adalah jarak masa yang jauh. Kita hendaklah membuat tanggapan bahawa ayat tersebut diturunkan berulang kali dengan berasaskan sebab penurunannya juga lebih daripada satu.

Kita boleh melihat hal ini dengan melihat riwayat pertama iaitu hadis riwayat yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan al-Bazzar daripada Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasululullah SAW berdiri di samping mayat Hamzah yang gugur syahid dalam perang Uhud dalam keadaan tubuhnya yang dikelar-kelar lalu baginda bersabda : Demi Allah sesungguhnya aku akan cincang 70 orang dari kalangan orang kafir sebagai menuntut bela hak engkau. Maka di saat itu, Jibril menurunkan ayat terakhir daripada surah al-Nahl sedang nabi masih berdiri dekat jenazah Hamzah.
Firman Allah :

Maksudnya :
Dan jika kamu membalas kejahatan (mereka) maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yan sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar , maka sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar.
(Surah al-Nahl ayat 126)

Riwayat kedua :
Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim daripada Ubay ibn ka’ab yang berkata : Ketika berlangsungnya peperangan Uhud di mana 64 orang Ansar dan 6 orang Muhajirin terkorban termasuk Hamzah yang dikelar-kelarkan tubuhnya, maka berkatalah golongan Ansar : Sekiranya suatu hari nanti kami berjaya menimpakan kemalangan seumpama ini terhadap mereka (orang kafir ) nescaya kami pasti akan akan mengajar mereka secukup-cukupnya. Ketika hari pembukaan kota Mekah maka Allah menurunkan ayat:

Maksudnya :
Dan jika kamu membalas kejahatan (mereka) maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar , maka sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar.
(surah al-Nahl ayat 126)


Daripada kedua-dua riwayat ini kita tidak boleh mengumpulkan dan menyelaraskan di antara kedua-dua riwayat tersebut. Ini adalah kerana jarak waktu di antara dua peristiwa itu yang terlalu jauh.Jika dilihat , Peperangan Uhud berlaku pada tahun ke-3 Hijrah manakala pembukaan Kota Mekah pula pada tahun-ke 8 Hijrah. Rumusan yang boleh dibuat ialah ayat tersebut diturunkan sebanyak dua kali .

Dalam hal ini ternyata ada yang menganggap terdapat masalah dam penurunan yang berulang , bahawa hal itu merupakan sasuatu yang sia-sia. Namun begitu jawapan untuk kemusykilan itu ialah , bahawa ada hikmah lain yang sangat luhur berkenaan dengan berulangnya nuzul iu, iaitu peringatan dari Allah kepada para hambanya dan menarik perhatian mereka kepada apa yang terkandung di dalam ayat-ayat yang diturunkan secara berulang itu , sama ada pesanan , faedah ataupun lain yang diperlukan oleh manusia.

v) Apabila kedua-dua riwayat tidak tegas.

Apabila perawi berkata, “Ayat ini diturunkan tentang hal ini.” atau, “Aku mengira ayat ini diturunkan tentang hal ini.”Dalam hal ini tiada percanggahan di antara riwayat-riwayat itu . Ia bukan menyatakan sebab nuzul kecualilah ada qarinah yang membawa maksud penjelasan tentang sebab nuzul.

vi) Salah satu daripada ungkapan riwayat tidak tegas.
Yang menjadi pegangan ialah riwayat yang menyatakan sebab nuzul dengan tegas.
Contohnya riwayat berkaitan Sebab Nuzul ayat 223 surah al-Baqarah:

Terjemahan :-Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu. Oleh sebab itu, datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah amalan-amalan yang baik untuk diri kamu . Dan bertaqwalah kepada Allah , serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuinya (pada hari Akhirat kelak) . Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman .
(Surah al-Baqarah ayat 223)

Menurut riwayat pertama : Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari katanya yang bermaksud: Pada suatu hari aku membaca Surah al-Baqarah ayat 223 :
Terjemahan :-Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu. Oleh sebab itu, datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai….Maka Ibn Umar berkata kepadaku Tahukah engku tentang apakah ayat ini diturunkan? Aku menjawab: Tidak tahu. Ibn Umar berkata : Ayat ini diturunkan berkaitan persoalan menyetubuhi isteri dari arah belakang.

Riwayat kedua pula ialah hadis yang diterima daripada melalui Jabir yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai’ dan Ibn Majah, Jabir berkata yang bermaksud: Orang-orang Yahudi berkata : Apabila seorang suami menyetubuhi isterinya dari arah belakang, maka anak yang dilahirkan bermata juling. Dengan sebab itu, turunlah ayat 223 surah al-Baqarah.

Dalam hal ini riwayat daripada Jabir dijadikan pegangan kerana tegas manakala riwayat ungkapan Ibn Umar diterima sebagai pentafsiran, bukan sebab nuzul.

Rumusan banyak sebab nuzul untuk satu ayat.
Menurut Ibn Hajar :
 Apabila semuanya tidak tegas,dinilai sebagai tafsir dan kandungan ayat.
 Apabila sebahagian tegas dan sebahagian tidak, yang dipegang yang tegas.
 Apabila semuanya tegas,pilih yang lebih sahih.
 Apabila semuanya sahih dilakukan tarjih.jika tidak boleh ditarjih, dikompromikan.
 Jika tidak boleh dikompromikan,ayat itu turun secara berulang.

3.2 Satu sebab nuzul untuk banyak ayat.
Kadang kala satu kejadian menyebabkan wahyu turun dua kali atau lebih , iaitu
sesuatu yang dipanggil oleh ulama dengan istilah : Turun beberapa wahyu kerana
sebab yang satu . Ini menunjukkan permasalahan itu penting.

Contohnya :
Hadis daripada Ummu Salamah yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim Katanya: Wahai Rasululah! Saya tidak pernah mendengar Allah menyebut tentang orang perempuan sedikit pun tentang Hijrah. Maka Allah menurunkan ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 195.Yang bermaksud: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan FirmanNya): Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan oran-orang yang beramal dari antara kamu sama ada lelaki atau perempuan…

4 Pegangan ialah lafaz umum, bukan sebab khusus

Para ulama usul berbeza pendapat dalam hal yang mana mesti diperhatikan untuk pegangan sama ada umumnya lafaz atau khususnya sebab . Adakah hukum itu hanya berlaku atas kejadian peristiwa atau perseorangan tertentu yang di situ ayat diturunkan atau hukum itu menjadi bersifat umum untuk kesemuanya . Menurut jumhur ulama , bahawa yang mesti diperhatikan adalah umumnya lafaz dan bukan khususnya sebab. Ini pendapat ynag sahih. Apabila sesuatu ayat sesuai dengan sebab secara umum atau sesuai dengan sebab secara khusus. Maka yang umum itu diterapkam kepada keumumannya dan yang khusus itu diterapkan kepada kekhususannya.






Contohnya firman Allah :

Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah darah haidh itu satu benda yang menjijikkan . Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh) dalam masa datang haidh itu, dan janganlah kamu menghampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
(Surah al-Baqarah ayat 222)

Daripada Anas bin Malik berkata yang bermaksud : Apabila setiap kali isteri-isteri oranag yahudi berhaidh, mereka dipulau atau dikeluarkan daripada rumah tidak diberi makan atau diberi minum dan di dalam rumah mereka tidak bersama . Dengan itu Rasulullah ditanya tentang perkara itu, maka Allah menurunkan ayat tersebut.
Kemudian nabi bersabda :
Bersama-samalah dengan mereka di dalam rumah dan perbuatlah apa sahaja,
kecuali menyetubuhinya. Perkara yang menjadi perbincangan ialah jika sesuatu sebab itu khusus sedangkan ayat yang diturunkan berbentuk umum. Dalam hal ini pendapat ulama terbahagi kepada dua.

Pendapat pertama
Jumhur ulama berpendapat bahawa yang menjadi pegangan ialah lafaz umum
bukannya sebab yang khusus.

Pendapat kedua
Segelintir ulama mengatakanyang menjadi pegangan dan hukum yang dipegang ialah sebab yang khusus.

Pendapat pertama

Contohnya berkenaan ayat li’an.Hadis daripada Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, al-Tirmizi dan Ibn majah di mana Ibn. Abbas berkata yang bermaksud: Daripada Ibn Abbas katanya Hilal Ibn Umayyah telah menuduh isterinya berzina dengan Syuraik Ibn Shama’ di hadapan nabi. Nabi bersabda “Hendaklah ada bukti atau saksi, kalau tidak belakang engkau akan disebat”. Hilal berkata “Wahai Rasulullah! Apabila seseorang daripada kami (suami) melihat lelaki bersama (melakukan persetubuhan ) dengan isterinya, maka adakah seharusnya ia membawa bukti atau saksi juga ? Rasululah menjawab, “Saksi atau bukti, jika tidak belakang kamu akan disebat”. Hilal berkata lagi, “Demi yang mengutuskan engkau (Allah) dengan kebenaran, sesungguhnya saya berkata benar. Moga-moga Allah akan menurunkan ayat yang melepaskan belakang aku daripada disebat. Maka turunlah malaikat Jibril menurunkan ayat : Surah al-nur ayat 6 hingga 9.

Lafaz( والذين يرمون أزواجهم ) dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina adalah dalam bentuk lafaz umum, namun begitu hukumnya bukanlah hanya terhenti
kepada peristiwa yang khusus itu sahaja. Iaitu ia bukan hanya tertumpu kepada peristiwa Hilal yang menuduh isterinya sahaja tetapi hukum yang dipegang ialah dengan meliputi semua kes lain atau kes menuduh isteri untuk semua orang (suami) tanpa perlu kepada dalil atau ayat lain.

Inilah pendapat sahih dan kukuh dan bersesuaian dengan hukum-hukum syarak yang bersifat umum.




Kesimpulan

Ilmu asbabun nuzul amat penting . Sebenarnya ayat al-Quran diturunkan melalui sebab-sebab tertentu . Namun begitu , ada juga ayat yang diturunkan tanpa sebab yang khusus .Mempelajari ilmu mengenai sebab nuzul ayat amat penting, antaranya ialah :

• Mengetahui hikmat diperundangkan sesuatu hukum.
• Mengetahuin bahawa syariat Islam memberi perhatian yang serius terhadap kepentingan umum, terutamanya dalam menghadapi segala peristiwa, demi umat Islam yang terhormat dan mulia.
• Mengkhususkan serta membataskan hukum yang diturunkan dengan sebab yang berlaku. Iaitu apabila sesuatu hukum itu dinyatakan dalam bentuk yang umum.
• Dapat membantu seseorang dalam memahami ayat dan maksud al-Quran. Ibn Daqiq al-’Id ( دقيق العيد ) berkata : mengetahui sebab nuzul adalah jalan yang paling kuat untuk mengetahui makna al-Quran. Ibn Taimiyah pula berkata : mengetahui sebab nuzul dapat membantu untuk memahami ayat, kerana mengetahui sebab akan dapat mengetahui musabbabnya.
• Dapat mentafsir sesuatu ayat berdasarkan kesah dan cerita yang sebenar. Al-Wahidi berkata : tidak mungkin dapat memahami pentafsiran ayat tanpa mengetahui kesah dan sebab nuzulnya.
• Membantu dan memudahkan seseorang yang menghafaz al-Quran.
• Membantu ahli Tafsir dan ahli Fiqh dalam mengitimhbat hukum.
• Mengetahui pengkhususan hukum.
• Mengetahui dengan jelas kepada siapa dan apa sebab sebenar turunnya sesebuah ayat. Di mana dengan itu ayat tersebut tidak dapat dinisbahkan kepada orang lain akibat dorongan atau permusuhan dan perselisihan.
• Memberi maklumat untuk membezakan antara ayat Makki dan Madani.
• Untuk mengetahui dan mengenal pasti ayat nasikh dan mansukh.
• Mengkhususkan hukum dengan sebab serta menolah sangkaan yang tidak benartentang sesuatu batasan hukum.
Semoga kita semua dapat membaca , memahami , menghayati dan mengamalkan al-Quran dengan baik. Quran adalah panduan utama umat manusia amnya dan umat Islam khususnya . Islam adalah agama Rahmatan lil alamin . Justeru itulah ia menjadi kajian bukan hanya oleh ulama Islam tetapi juga para orientalis dan pemikir barat kerana mereka juga amat kagum dan mengakui secara senyap-senyap akan keagungan Islam . Al-Quran adalah mukjizat yang kekal hingga hari qiamat . Allah yang telah menurunkan al-Quran dalam Bahasa Arab dan Allah akan memeliharanya hingga hari qiamat .Wallahu a’lam






Bibliografi

Ahmad Von Denffer , Ulum al-Quran , An Introduction To The Science Of The Quran (1991), AS Noordeen, Kuala Lumpur.

Asmawi bin Haji Ehsan, Ulum Al-Quran (2004) , Pustaka Haji Abdul Majid, Kuala Lumpur.

Dra.H. St. Amanah , Pengantar Ilmu al-Quran dan Tafsir (1993) , Penerbit Assyifa’ , Darul Fikir , Kuala Lumpur .

Rosmawati Ali @ Mat Zin, Pengantar Ulum Al-Quran.( 1997), Pustaka Salam Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Subhi Saleh , Kajian al-Quran , Penterjemah , Zainal Abidin bin Abdul Kadir (1991), Dewan bahasa dan Pustaka , Kuala Lumpur .

Syeikh Muhammad Ali Ash Shabuni , Sejarah dan Dasar Pengajian Ilmu Al-Quran, penterjemah , M. Juanaid Al-Hashimi (1996), Al-Hidayah Publisher , Kuala Lumpur.

Zulkifli bin Hj. Mohd. Yusoff, Kunci Mengenal al-Quran (1996), Berita Publishing Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran (1994), Bahagian Hal Ehwal Islam , Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur .





Artikel ini datangnya daripada Portal Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kerian
http://ppdkerian.edu.my/portal

Alamat URL untuk artikel ini:
http://ppdkerian.edu.my/portal/modules.php?name=News&file=article&sid=791

No comments:

Post a Comment